Lee Sun-kyun akan membintangi siri asli Korea pertama Apple TV+, Dr. Brain. Siri ini ditulis dan diarahkan sendiri oleh Kim Jee-woon (The Age of Shadows), dan kisahnya diadaptasi daripada webtoon popular dengan judul yang sama, mengisahkan seorang saintis otak yang obses dengan pembangunan teknologi baharu untuk meneroka kesedaran dan memori otak. Apabila keluarganya menjadi mangsa sebuah kemalangan misteri, hidupnya menjadi kacau-bilau. Dia menggunakan teknologinya untuk mendapatkan memori daripada otak isterinya, menyusun semula apa yang sebenarnya berlaku kepada keluarganya dan sebab-sebab kejadian itu berlaku. Siri ini diterbitkan oleh syarikat produksi di bawah YG, Studioplex dan Bound Entertainment, kini sudah mula menjalani penggambaran dan dijadualkan ditayangkan pada penghujung tahun ini.