Chouko (Yukie Nakama), seorang pegawai polis wanita yang ceria dan optimis dari Unit Keselamatan Awam, menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya Kouhei Uehara (Kazuki Sawamura) yang menguruskan kedai foto, anak tiri Aoi (Mirai Shida), dan anak lelaki Tonbo (Yumejin Kimino). Namun malang tidak berbau, Chouko terkorban dalam kebakaran semasa rondaan ketika cuba menyelamatkan seorang gadis. Peristiwa itu memberi kesan mendalam kepada keluarga Uehara terutamanya Tonbo yang masih kecil. Pada suatu hari, Tonbo secara tidak sengaja memakai cermin mata ibunya dan terkejut apabila melihat ibunya yang telah meninggal dunia tiga bulan lalu masih hidup di hadapannya. Rupa-rupanya Chouko tidak dapat melupakan suami dan anak-anaknya selepas kematiannya, dan dia berkeliaran di sisi keluarganya sebagai hantu. Sudah tentu sifatnya yang suka menolong orang tidak berubah, dan Chouko bersama Tonbo berganding bahu untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan……