Walaupun siri Manhunt: Unabomber di saluran Discovery mendapat ulasan dan jumlah penonton yang memberangsangkan, CEO Discovery, David Zaslav menyatakan mereka akan berundur dari bidang drama bersiri dan kembali memberi tumpuan kepada program realiti. Akhirnya siri ini diserahkan kepada saluran Spectrum Originals. Musim kedua yang terdiri daripada 10 episod diberi judul Manhunt: Deadly Games (sebelum ini Manhunt: Lone Wolf) dan disahkan akan ditayangkan perdana pada 3 Februari waktu Amerika Syarikat. Ia mengisahkan Eric Rudolph, pelaku Pengeboman Taman Olimpik Centennial pada 1996 yang mencetuskan operasi pemburuan besar-besaran, serta Richard Jewell yang pernah tersalah dituduh sebagai suspek. Jack Huston memegang watak Eric Rudolph, dalang di sebalik kejadian yang ditangkap pada 2003. Cameron Britton memegang watak Richard Jewell, yang pada masa itu menemui salah satu bom dan mengosongkan penonton, tetapi kemudiannya disenaraikan oleh FBI sebagai suspek utama sehingga menjadi sasaran kecaman media. Antara pelakon utama lain ialah Judith Light, Gethin Anthony dan Kelly Jenrette.