Left Bank Pictures, syarikat penerbitan di sebalik "The Crown", menghasilkan satu lagi siri baharu untuk Netflix iaitu "Behind Her Eyes". Siri ini diadaptasi daripada novel thriller dengan judul sama karya Sarah Pinborough, dan drama adaptasi 6 episod ini kini sedang menjalani penggambaran. Watak utama "Behind Her Eyes", Louise, ialah seorang ibu tunggal yang juga bekerja sebagai setiausaha. Pada suatu malam, dia berkenalan dan mencium seorang lelaki muda bernama David di sebuah bar, namun kemudiannya Louise mendapati lelaki itu rupa-rupanya ialah ketua baharunya. Pada masa yang sama, Louise berkawan dengan seorang penduduk baharu di pekan itu, Adele, tetapi tidak lama kemudian barulah dia tahu Adele ialah isteri David. Ketika Louise mula terpikat dan terjerat dalam hubungan pasangan suami isteri itu, dia perlahan-lahan merasakan ada banyak perkara yang tidak kena dengan mereka. David dan Adele yang bersikap bermuka-muka mungkin menyembunyikan rahsia yang mengerikan. Simona Brown memegang watak Louise, Tom Bateman sebagai pakar psikologi David, dan Eve Hewson sebagai Adele.